“Budak Sekolah” Perkuat Cabaran Skuad PES Wilayah Persekutuan, Remaja Labuan Ketuai Pasukan

Posted by Admin Beyl July 31, 2019 in Axis LeagueEsports News

Pada Sabtu yang lalu, sudah berlangsungnya pemilihan untuk skuad Wilayah Persekutuan bagi e-sukan Pro Evolution Soccer di Blackbox Esports Studio, Subang Bestari. Seramai 29 peserta bawah 20 tahun yang lahir, bekerja atau belajar di Wilayah Persekutuan telah menyertai pemilihan ini untuk memilih enam pemain terbaik bagi menggalas cabaran skuad PES di SUKMA XX di Johor pada 2020.

 

Pemilihan ini, yang dihadiri En. Akmal dari Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan dimeriahkan lagi dengan kedatangan ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL) iaitu En. Hisyam Darus selaku Presiden, En. Hanazrie Zainol merangkap Timbalan Presiden, dan En. Megat. Pengusaha Blackbox Esports Studio, En. Iqbal juga hadir untuk menyaksikan acara tersebut, yang dijalankan dengan kerjasama WEPES Malaysia yang diwakili Encik Shaharil Shaharudin.

 

Peserta-peserta PES dari seluruh pelusuk Wilayah, dalam lingkungan usia semuda 14 tahun sehingga 20 tahun menempuh dua peringkat dalam pemilihan ini. Pertamanya, mereka perlu bermain dalam peringkat kumpulan, di mana enam hingga tujuh pemain akan diletakkan dalam satu kumpulan, dengan empat pemain terbaik akan bermain dalam peringkat seterusnya, iaitu pusingan kalah keluar dengan hadiah terkumpul sebanyak RM650, dengan sehelai jersi sumbangan Bolakaki Official kepada setiap pemain yang berjaya menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

“Budak Sekolah” Perkuat Cabaran Skuad PES Wilayah Persekutuan, Remaja Labuan Ketuai Pasukan 1

Peringkat Kumpulan. Sumber: Toornament

Seramai 16 pemain berjaya ke pusingan kalah keluar, di mana hanya enam pemain akan dipilih untuk menjadi sebahagian dari kontinjen Wilayah Persekutuan untuk permainan PES. Pemain dari WP Labuan, mdhizami atau Mohd Hizami Johari (20), berjaya untuk menjuarai pertandingan ini tanpa sebarang kekalahan, termasuklah menumpaskan finalis lain, V3n0m atau Muhammad Zulhilmi Idrus Saadi (20) 7-2 secara langsung di laman facebook Axis Esports. Mdhizami yang merupakan antara pemain terbaik di Labuan, akan mengetuai cabaran PES Wilayah Persekutuan setelah menunjukkan corak permainan yang cukup dikagumi, dan semestinya akan menjadi pemain harapan untuk merangkul emas buat kontinjen.

Menariknya, kontinjen WP akan turut dibarisi pemain-pemain muda yang masih akan bersekolah pada tahun temasya iaitu 2020. Mereka bertiga berkemungkinan besar akan menjadi antara pemain termuda dalam saingan Esukan di SUKMA XX. Mereka ialah Iqbal Naqiuddin (14), EdiBAYOR atau Muhammad Irfan Junaidi (15) dan Muhammad Munif (16)! Lebih menarik lagi, ini merupakan pengalaman pertama Iqbal menyertai pertandingan e-sukan setelah bermain PES sejak kecil! Bukan itu sahaja, cerita menarik juga ada pada Irfan apabila ini merupakan pertandingan PES pertama beliau setelah lebih tiga tahun menceburi bidang FIFA Online dan juga FIFA! Semestinya pemain-pemain muda ini akan menjadi kambing hitam di Johor nanti, membuatkan mimin tidak sabar untuk kejohanan tahun hadapan!

 

Dua lagi tempat dalam skuad PES ditentukan menerusi “playoff” di antara empat pemain yang tewas di suku akhir kejohanan. Muhammad M_Z atau Muhammad Munif (16) dan Hitler Killer atau Putera Amru Haizam (17) berjaya memperoleh dua slot tersebut dan akan turut serta sebagai pemain-pemain Wilayah Persekutuan.

 

“Budak Sekolah” Perkuat Cabaran Skuad PES Wilayah Persekutuan, Remaja Labuan Ketuai Pasukan 2

Peringkat Kalah Keluar. Sumber: Toornament

Senarai penuh pemain PES untuk SUKMA XX adalah seperti berikut:

  • Mohd Hizami Johari (20)
  • Muhammad Zulhilmi Idrus Saadi (20)
  • Muhammad Irfan Junaidi (15)
  • Iqbal Naqiuddin (14)
  • Putera Amru Haizam Saiful Amri (17)
  • Muhammad Munif (16)
“Budak Sekolah” Perkuat Cabaran Skuad PES Wilayah Persekutuan, Remaja Labuan Ketuai Pasukan 3

Berdiri dari kiri: En. Hanazrie Zainol, Mohd Hizami, En. Hisyam Darus

Duduk dari kiri: Iqbal Naqiuddin, Muhammad Irfan Junaidi, , Muhammad Zulhilmi

 

Kami dari Axis Esports mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen PES yang akan mewakili Wilayah Persekutuan di SUKMA XX Johor 2020 nanti! Bawak balik emas ya!